Yang Dipertuan Agong telah memperkenankan perlantikan Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai Peguam Negara yang baru berkuatkuasa 6 September ini.
Peguam Cara Negara itu dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa Rabu depan bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September ini.
Perkara tersebut disahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan pada Jumaat, hari ini.
Untuk rekod, sebelum ini Idrus adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai Peguam Negara dengan kontrak dua tahun bermula 6 Mac 2020 menggantikan Tan Sri Tommy Thomas, yang meletak jawatan pada 28 Februari 2020.
Beliau kemudian dilantik semula bagi memegang jawatan itu untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa mulai 6 Mac 2023.
Sebelum ini, Ahmad Terrirudin adalah Timbalan Ketua Bahagian Guaman III, Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara pada 2017.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 2008 dan 2007.
Ahmad Terrirudin yang memulakan perkhidmatannya sebagai pegawai undang-undang (kehakiman) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2007 dan sebelum itu, beliau adalah pegawai khas kepada Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada 2003.