Sorting by

×
Higher Education minister Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin delivering his speech during the appreciation and handover ceremony at Sama-Sama Hotel in Sepang on Wednesday. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star
Hantar Berita Ini:

Pertama, Malaysia MADANI bukan sahaja tentang sistem nilai yang unggul atau idea besar. Lebih utama, ini adalah satu seruan kebersamaan dalam memberi yang terbaik kepada tanahair.

Sebagai sebuah Kementerian yang menguruskan bakat, ilmu dan kebijaksanaan watan, Debat Perdana MADANI ini adalah saluran untuk segala kelebihan intelektual diangkat dan dikongsikan dengan negara.

Kita mahu menggembleng segala kekuatan dan kelebihan dari segi idea dan pemikiran besar, untuk disumbangkan kepada usaha membawa kesejahteraan tanahair.

Bagi pihak KPT, Debat Perdana MADANI ini adalah sebuah projek untuk negara yang memfokuskan kepada penjanaan idea dan buah pandangan.

Kerana tanpa idea dan buah pandangan yang pelbagai, tidak ada agenda dan misi bersama negara yang akan berjaya.

Kedua, Debat Perdana MADANI adalah pentas kita memperincikan strategi dan tindakan bagi menjayakan Malaysia MADANI.

Malaysia MADANI adalah gagasan besar yang bersifat etos nasional tetapi untuk sesebuah gagasan besar itu berjaya dan mencapai matlamat murninya, kita mesti mengisi gagasan tersebut dengan cara yang betul, praktikal dan strategik.

Idea besar yang baik, jika tidak diterjemahkan dengan cara yang berkesan, akan berakhir sebagai sekadar slogan kosong.

Saya yakin, setelah mendengar syarahan daripada semua tokoh yang dijemput, kita berpeluang melihat dengan lebih jelas apakah kelebihan Malaysia MADANI sebagai sebuah gagasan negara.

Malah kita akan dapat meneliti secara objektif apakah kekurangan dan lakuna yang ada, yang mesti diperbetul dan diperkukuh secara berlapang dada.

Yang ketiga dan terakhir, saya memberi jaminan bahawa segala pengamatan serta perspektif yang dikongsikan oleh semua panel yang bijaksana hari ini, bukan sahaja sangat kita hargai, tetapi akan diberikan perhatian serius.

Ini kerana debat Perdana MADANI ini menghimpunkan minda-minda besar. Mereka adalah tokoh yang dihormati, yang kaya dengan ilmu dan pengalaman.

Pentas Debat Perdana MADANI ini mengumpulkan tokoh-tokoh ulung kerana kita mahu memastikan idea-idea besar berkenaan Malaysia MADANI diuji dan dibahaskan secara terbuka dan kritikal.

Sekali pun kita semua jelas dengan nilai dan pendirian yang membentuk gagasan Malaysia MADANI, kita sebenarnya masih sangat memerlukan pandangan, kritikan serta saranan dari golongan bijak pandai.

Sebab itu pentas ini dibuka seluas-luasnya. Ia adalah ruang dan peluang kita mengutip segala nilai tambah yang ampuh dalam menjayakan Malaysia MADANI.


Petikan di atas ialah sebahagian daripada ucapan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa melancarkan program sulung Debat Madani 2023 pada 21 Ogos di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia.