Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Penjara bukan tempat pemulihahan dadah memandangkan komplikasi fizikal dan psikologi susulan penggunaan serta penyalahgunaan dadah perlu ditangani dengan rawatan dan pemulihan yang tiada di penjara, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

“Jadi kita tahu penjara bukan tempat untuk diberi rawatan dan rehabilitasi kepada penagih dadah.

“Sebahagian daripada penagih dadah pula terpaksa diasingkan di pusat-pusat rawatan dan pemulihan dan ini boleh merencatkan tahap kefungsian mereka sebagai seorang ahli masyarakat yang produktif,” katanya semasa perasmian Simposium Psikiatri Forensik dan Penagihan pertama yang bertemakan Mengharungi Halangan: Mengecapi Semula Hidup.

Menurutnya, titik pertembungan antara bidang psikiatri dan forensik selalu bermula di fasiliti perubatan, mahkamah dan pusat tahanan.

“Ini menyebabkan kesukaran bagi membentuk pelan rawatan perubatan berkesan yang juga mermuhi kehendak perundangan.

“Hasilnya penyakit akan bertambah buruk dan sistem pengadilan akan bertambah sesak,” katanya.

Beliau turut mengakui jurang lebar antara penguatkuasaan, perundangan dan rawatan perubatan untuk penagih yang perlu diatasi.

“Selain intervensi pencegahan dan rawatan perubatan dalam komuniti yang longgar dan berselerakan juga turut menjadi cabaran kepada intervensi yang ingin kita laksanakan dalam pusat pemulihan dan tahanan.

“Cabaran lain adalah dari sudut perundangan harus diatas bagi memastikan penyaluran kesinambungan dan kelestarian rawatan dan pemulihan diberikan.

“Sistem perundangan rawatan yang bersandarkan pendekatan berasaskan masyarakat boleh menjadi pemangkin perubahan yang dikehendaki,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan perkhidmatan psikiatri forensik dalam usaha ini.

“Satu sistem rujukan kes yang lebih interaktif antara perkhidmatan psikiatri forensik dengan pemegang taruh yang lain seharusnya diwujudkan juga.

“Sistem ini boleh digunakan bagi melicinkan kes antara agensi terbabit untuk mengelakkan keciciran pesakit dan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan yang akan diberikan,” katanya.