Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian serius terhadap isu kekurangan guru dan sedang berusaha mengatasinya secara berperingkat menerusi pelaksanaan Penandaan Opsyen Mata Pelajaran Guru.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, pihak kementerian kini melaksanakan Penandaan Opsyen Mata Pelajaran Guru bagi beberapa subjek teras di negara ini bagi menangani isu tersebut.
“Hakikatnya, kekurangan guru bukan sahaja berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) malah berlaku di Sekolah Kebangsaan,” kata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying dalam ucapannya ketika lawatan ke SJKC Cheng Siu 1 dan 2 di Batu Pahat semalam.
“KPM kini sedang giat berusaha untuk melaksanakan proses penandaan opsyen mata pelajaran pengajaran para guru khususnya bagi SJKC dan SJKT di seluruh negara demi mendapatkan data guru mengikut mata pelajaran yang tulen serta komprehensif,” katanya.
Menurut beliau, KPM telah selesai proses penandaan opsyen mata pelajaran pengajaran di 6 negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah serta Perlis. Proses ini akan dimulakan di Johor pada 7 September.
“Saya berharap dengan usaha proses penandaan opsyen mata pelajaran akan memberikan data guru mengikut mata pelajaran yang tulen demi menambah baik unjuran pengambilan guru pelatih bagi tahun depan
“Melalui proses penandaan ini, kementerian dapat mengenal pasti isu-isu keperluan opsyen guru di SJKC dan SJKT dengan lebih terperinci dari aspek lebihan keperluan opsyen, serta tindakan susulan yang perlu diambil.
“Usaha ini sangat mustahak bagi mengenal pasti dan menangani isu lebihan guru bagi opsyen Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan kekurangan guru dalam opsyen lain,” tambah Hui Ying.
Setakat 31 Januari 2023, terdapat sebanyak 19,431 kekosongan melibatkan guru bersamaan dengan 4.49%.
Kekosongan berlaku kerana persaraan wajib guru, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia.