Penasihat khas Kementerian Kesihatan Dr Kelvin Yii memberi jaminan bahawa keselamatan makanan tidak akan dikompromi susulan kebimbangan umum berkenaan bahan makanan dari Jepun.
“Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sentiasa berjaga-jaga dan mengambil langkah serius untuk memastikan keselamatan makanan terutamanya yang diimport dari Jepun susulan laporan pelepasan air radioaktif terawat dari Fukushima.
“Keselamatan makanan adalah sesuatu yang tidak akan dikompromi. Import makanan “risiko tinggi” akan melalui ujian Tahap Empat untuk pemeriksaan bahan radioaktif.
Yii menyatakan usaha ini dibuat menerusi Bahagian Kualiti dan Keselamatan kementerian. Bahagian ini juga pernah mengawasi makanan import Jepun dari Mei 2011 hingga April 2012 ekoran dari gempabumi yang menyebabkan kerosakan ke atas stesen janakuasa.
Panduan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan peraturan 37, Peraturan-peraturan Makanan 1985 digunakan untuk tujuan ini.
Menurut laporan BBC, negara Jepun akan melepaskan air radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima Daiichi yang dilanda tsunami ke ke Lautan Pasifik hari ini.
Air yang terkumpul adalah sebanyak 1.34 juta tan sejak dilanda tsunami pada 2011. Tsunami tersebut telah memusnahkan loji tersebut.
Negara Matahari Terbit akan melepaskan air dalam tempoh waktu 30 tahun.
Yii juga menyatakan pada masa ini tiada ikan marin hidup diimport dari Jepun, menurut Jabatan Perikanan.
“Untuk produk bukan perikanan hidup Jepun, kedua-dua kementerian dan pihak berkuasa berkenaan seperti MAQIS dan LKIM sentiasa memantau tahap keselamatan makanan dan ini termasuk pemeriksaan sijil kesihatan dan radiasi pasca import,” katanya.