Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Semua pihak yang menjual benih padi sah melebihi had harga maksima akan berdepan tindakan penggantungan lesen.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam satu kenyataan berkata pengeluar atau pemborong wajib memastikan penjualan benih padi sah tidak melebihi had kuota yang ditetapkan.

“Harga dijual kepada peruncit tidak boleh melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan iaitu RM31 setiap kampit 20kg jualan benih di pintu kilang manakala harga maksimum RM32 per kampit 20kg termasuk pengangkutan,” kata kementerian itu.

Di peringkat runcit pula jualan benih padi sah kepada pesawah tidak boleh melebihi harga maksima RM35 per kampit 20 kilogram.

“Kegagalan untuk melaksanakan arahan ini dan mematuhi Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522], kementerian melalui kuasa Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras berhak untuk membatalkan atau menggantung setiap lesen yang telah dikeluarkan,” kata KPKM lagi dalam satu kenyataan.

Bekalan benih padi sah hanya boleh dikeluarkan oleh pengeluar lantikan kerajaan dan mereka tertakluk kepada mekanisme kawalan sepertimana yang termaktub di dalam Perintah Tetap Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Bilangan 1/2021: Kawalan Kerajaan Ke Atas Pengeluaran Dan Pemasaran Benih berkuatkuasa 11 November 2021.