Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta untuk menaik taraf Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik – Jeli.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata akan turut mengkaji permohonan peruntukan penyelenggaraan jalan seluruh negara dalam Belanjawan Madani kedua yang akan dibentangkan dalam bulan Oktober.

“Tapi hari ini saya boleh lulus tambahan RM30 juta untuk perbaiki jalan,” kata beliau dalam ucapan ketika melancarkan Kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Gerik.

Terdahulu Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM30 juta daripada Kementerian Kerja Raya untuk penyelenggaraan jalan tersebut yang cukup penting dalam sejarah.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh Malaysia berjumlah RM370 juta pada tahun ini.

Beliau berkata, RM300 juta adalah bagi penyelenggaraan jalan persekutuan yang tiada dalam syarat kontrak syarikat konsesi.

“RM20 juta peruntukan khas untuk jurutera daerah dan RM50 juta (bagi) pemasangan dan penyelenggaraan lampu di kawasan risiko tinggi kemalangan,” kata beliau.

Sebanyak RM250 juta lagi diluluskan sebagai peruntukan kerja-kerja penyelenggaraan kontraktor kecil bumiputera.