Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 yang membenarkan penahanan tanpa bicara sehingga 28 hari tidak akan dimansuhkan sebaliknya akan ditambah baik menerusi pindaan secara berperingkat.
“Ia tiada dalam perancangan. Tetapi kita sedang melihat penambahbaikan,” kata Timbalan Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi Ramkarpal Singh kepada pemberita di Putrajaya pagi ini.
Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada persoalan sama ada terdapat rancangan ke arah pemansuhan akta tersebut.
Beliau menambah bahawa kajian semula termasuk sesi libat uruts telah pun dibuat dan semakan tersebut akan dibawa ke kabinet meskipun tiada garis masa ditetapkan untuk semakan.
“Pada peringkat ini, kami bercadang untuk mengemukakan dua cadangan utama kepada kabinet untuk penambahbaikan Sosma. Dalam rancangan kami untuk meminda Sosma, penambahbaikan tidak akan dilakukan secara serentak, tetapi mungkin dalam beberapa peringkat,” katanya.
Antara penambahbaikan yang diutarakan ialah dalam jaminan.
Sosma merupakan undang-undang kontroversi yang membenarkan penahanan selama 28 hari sebelum didakwa di mahkamah.