Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Selepas memberikan fokus kepada kualiti penghasilan padi di negara ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menumpukan pula kepada penghasilan jagung bijian.

Ini kerana, industri ternakan di negara ini banyak bergantung kepada jagung bijian untuk dijadikan makanan mereka.

Kalau selama ini jagung bijian yang diimport menyebabkan harga makanan ternakan sukar dikawal oleh kerajaan, Mohamad berusaha agar negara ini mengeluarkan jagung bijian sendiri.

Hari ini ini Mohamad hadir ke Program Walkabout di Ladang Jagung Bijian (Grain Corn) Lembah Chuping, Perlis.

Katanya, kerjasama strategik di antara Jabatan Pertanian dan Green World Genetic Sdn Bhd (GWG) ini dilihat mampu untuk memberikan impak yang positif kepada agenda agromakanan negara di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0.

Projek rintis ini meliputi keluasan 5 hektar di Lembah Chuping, Perlis.

“Alhamdulillah saya lihat ada peningkatan dari segi jumlah penglibatan agensi dan syarikat swasta dalam penanaman jagung bijian dalam negara ketika ini.

“Dengan peningkatan ini diharap ia dapat mengurangkan kebergantungan import jagung bijian dari luar negara, seterusnya dapat membantu meningkatkan sumber pendapatan petani tempatan,” kata Mohamad.

Selepas itu, Mohamad membuat lawatan kerja ke pusat kajian dan penghasilan benih serta pusat pemprosesan jagung bijian milik Green World Genetics (GWG) yang terletak di Pauh Putra, Perlis.

“Alhamdulillah, ketika ini penghasilan jagung bijian sudah melepasi enam tan bagi setiap hektar tanah dengan tujuh varieti jagung bijian yang sesuai ditanam di Malaysia iaitu GWG 111, GWG 888, GWG 5006, P 4546, KWS 8933, Pacific 339 dan Golconda 709,” kata Mohamad menerusi Facebook beliau.

Jagung bijian ini merupakan komponen penting bagi industri ternakan yang meliputi hingga 60 peratus.

“Sekiranya kita mampu meningkatkan hasil jagung bijian tempatan ini, ia sekali gus mampu untuk mengurangkan kos makanan haiwan ternakan.

“Ia sejajar dengan rangka kerja tiga fasa Industri Jagung Bijian Negara sehingga tahun 2032 yang menyasarkan keluasan 50,000 hektar dimajukan secara berperingkat,” katanya.