Projek Smart SBB Mini Sekinchan bakal menjadi panduan untuk membantu Malaysia untuk mengelakkan diri dari bergantung kepada beras import.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Muhamad Sabu berkata demikian selepas meraikan kejayaan projek rintis Mini Sekinchan di Perlis semalam.
“Saya berkeyakinan penuh, dengan bantuan teknologi terkini pertanian negara akan lebih maju dan berdaya saing.
“Buktinya Projek Mini Sekinchan ini telah menggunakan “smart farming” Jentanam.
“Padi yang ditanam pada bulan Mei lalu berada dalam kedudukan yang tersusun dan ianya memudahkan petani untuk memantau tumbesaran pokok padi.
“Alhamdulillah hasilnya cukup membanggakan!” kata beliau selepas meraikan kejayaan Projek Mini Sekinchan MADA di Kampung Lat 1000, Simpang Empat, Perlis semalam.
Program SMART SBB Mini Sekinchan MADA-BERNAS yang telah diluncurkan sendiri oleh beliau pada 9 Mei 2023 lalu kini telah membuahkan hasil.
Nama Sekinchan diambil kerana terbukti tanaman padi di Sekinchan, Selangor memperolehi hasil yang lebih tinggi berbanding dengan padi di tempat-tempat lain.
Ini kerana, ia ditanam dengan tersusun dengan menggunakan teknologi yang lebih baik.
“Hari ini saya bersama dengan para pesawah melihat sendiri hasil tuaian padi di Kampung Lat 1000, Simpang Empat ini dan alhamdulillah saya amat berbangga kerana melalui program ini pesawah telah berjaya mendapat hasil sehingga 10 tan metrik per hektar,” kata beliau.
Penggunaan jentuai padi yang lebih kecil juga, katanya, banyak membantu mengurangkan keciciran padi ketika proses penuaian dijalankan sebentar tadi selain mengurangkan risiko tanah jerlus.
“Program hari ini adalah bukti kepada kerja keras pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan seterusnya menjamin kecukupan bekalan beras di pasaran.
“Saya juga ingin menyeru kepada pesawah lain untuk turut serta dalam Program SMART SBB Mini Sekinchan ini bagi membantu meningkatkan lagi hasil tanaman padi mereka,” katanya.