Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau dan kerajaan perpaduan tidak akan opologetik dalam mempertahankan Islam.

Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan perpaduan akan memelihara hak rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai latar belakang, kaum dan agama.

“Saya juga tegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak apologetik dalam mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan dan memelihara seluruh hak rakyat Malaysia dengan pelbagai latarbelakang agama serta kepercayaan,” kata PM Anwar.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-63 Tahun 1445H/2023M di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur.

Ketegasan PM Anwar sejajar dengan sejarah perjuangan beliau di negara ini yang bermula dengan penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan hubungannya dengan pelbagai pertubuhan dan tokoh-tokoh Islam di seluruh dunia.

Dalam majlis itu juga, PM Anwar meminta semua pihak menguasai, mendalami dan memahami Al-Quran bagi melawan kelompok yang mempromosi Islamophobia.

“Tanpa kefahaman yang tuntas, ianya akan mewujudkan kelompok yang dangkal dalam ilmu sekaligus melahirkan dua sisi esktrem iaitu kelompok yang mempromosi Islamophobia dan lawannya yang melampau dalam agama,” katanya.