Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa perkara berkaitan patriotisme sama sekali tidak boleh dipolitikkan.

“Ini bukan soal politik, ini soal bendera perayaan (Hari Kebangsaan) dan saya fikir jangan politikkan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 2023 di Putrajaya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari yang mencadangkan empat negeri di bawah pentadbiran PN berkemungkinan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza di peringkat negeri.

Semalam Ahmad Fadhli berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mungkin menggunakan logo dan tema alternatif – Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera dengan logo dari elemen bunga raya.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil telahpun mengumumkan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia – “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan dengan logo Malaysia MADANI sebagai logo rasmi.

Dalam perkembangan berkaitan Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa PN menarik balik cadangan tersebut.

Ramai pihak turut sama mengkritik pengumuman PN.