Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bertemu waris mangsa, nahas pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, semalam, di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Beliau tiba pada jam 12.55 tengah hari dan disambut oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan pasukannya.
Beliau turut dibawa ke khemah yang menempatkan waris mangsa nahas untuk menziarahi mereka sebelum mengadakan sidang akhbar bersama pertugas media.
Beliau turut memaklumkan bantuan sepenuhnya akan diberikan oleh kerajaan persekutuan, negeri dan agensi berkaitan untuk mempermudahkan urusan berkaitan jenazah mangsa.
“Minta keluarga banyak bersabar, tiada siapa boleh jangka (kejadian). Sekarang (pihak hospital) sedang uruskan proses forensik (bagi pengecaman mayat), ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dah selesai dan semua akan diuruskan kerajaan, begitu juga kerajaan Selangor dan majlis agama negeri (Jabatan Agama Islam Selangor).
“Sekarang ini kita bagi semua bantuan diperlukan untuk menguruskan jenazah, semua kelengkapan termasuk juga penginapan (waris dan keluarga). Kerajaan bagi bantuan kepada keluarga terutama kepada yang tidak mempunyai pekerjaan juga kepada anak-anak,” kata beliau.