Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil serius laporan pegawainya terlibat dengan aktiviti politik, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusof.

Dalam satu kenyataannya, Hakimah berkata, beliau telah mengarahkan Jawatankuasa Tatatertib Jakim untuk bertindak segera berpandukan kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang didapati melanggar sebarang peraturan ini.

“Sebagaimana yang sering diingatkan, semua warga kerja Jakim dinasihatkan agar sentiasa mematuhi semua peraturan yang sedang berkuatkuasa dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan integriti dan imej perkhidmatan awam,” katanya.

Sebelum ini tersebar di media sosial tindakan pegawai Jakim iaitu Imam Masjid Putra, Putrajaya membuat kenyataan yang dianggap bersifat menghasut dan berunsur perkauman.

Beliau juga mengaitkan dirinya dengan sebuah parti politik ketika membuat komen-komen selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.