Bersatu sudah dijadikan umpama tandas awam oleh geng-geng kartel dalam parti itu, kata Dr Faiz Na’aman yang baru mengisytiharkan keluar dari parti itu.
Bercakap kepada Malaysiakini, bekas Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata, pengaruh kartel ini sangat kuat dalam Bersatu .
“Pengaruh kumpulan kartel dalam Bersatu sangat kuat dan telah menjadikan parti ini seumpama tandas awam,” kata Faiz.
Tidak diketahui siapakah yang dirujuk sebagai kumpulan kartel dalam Bersatu sekarang.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikenali sebagai pemimpin kumpulan kartel dalam PKR.
Jika benar pemimpin yang dirujuk adalah Azmin, kemarahan Faiz sebelum ini turut dinyatakan oleh Armada Bersatu Hulu Selangor sehingga mereka membakar dan memijak bendera Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.
Ketua Armada Bersatu Hulu Selangor, Mohamad Zikri Faiz bin Zahar meletakkan semua jawatannya dalam Bersatu dan seterusnya keluar dari parti itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam facebook beliau, Zikri mengumumkan, “Adalah dengan ini dimakluman, saya Mohamad Zikri Faiz bin Zahar no ahli 00120457 meletakkan semua jawatan dan keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkuatkuasa serta merta.”
Beliau dan rakan-rakannya marah kerana pemimpin Bersatu Hulu Selangor diketepikan dari menjadi calon sebaliknya memberikan laluan kepada golongan kartel Azmin bertanding di Dun Batang Kali.