Permuafakatan yang jitu antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membolehkan gabungan itu mengekalkan kepemimpinan di peringkat pusat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, perkara itu dibuktikan apabila beliau dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sama sekali tidak bersikap selektif untuk hanya turun berkempen memenangkan calon masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
“Calon PH adalah calon saya. Calon BN adalah calon saya. Saya bersikap begitu. Sebab itu di mana calon PH dan BN bertanding, saya akan turun kempen. Ahmad Zahid pun sama.
“Kami tidak memilih. Kerana kita nak muafakat (antara PH dan BN) betul-betul kuat sebab dengan bersatunya PH dan BN, kita boleh sapu bersih Malaysia ini,” katanya sewaktu berucap dalam siri ceramah di program Jelajah Perpaduan MADANI di Bilik Gerakan Utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, di sini malam ini.
Pada masa sama, Anwar sekali lagi sekeras-kerasnya menyangkal sentimen dimainkan pembangkang bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau hari ini adalah kerajaan anti-Islam.
“Dia kata kita DAP. Saya ikut apa? Dia (DAP) ada 40 Ahli Parlimen. Cina (pengundi Cina) sokong dia. Kita kerjasamalah dengan dia. Bukan kita ikut dia.
“Saya bos (Perdana Menteri). Ahmad Zahid pula Timbalan Perdana Menteri. Tidak mungkin UMNO nak khianat. Bagaimana sekali pun orang kritik, UMNO masih pertahankan prinsip Melayu dan Islam,” katanya.