Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan merupakan pemimpin negara pertama yang memisahkan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan.
Oleh itu tohmahan pembangkang bahawa Anwar mengawal keseluruhan perbelanjaan negara adalah tidak benar, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam sesi Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia bersama Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman.
“Hanya pentadbiran di bawah Kerajaan Perpaduan yang meletakkan perbelanjaan pengurusan di bawah Kementerian Kewangan, manakala perbelanjaan pembangunan di bawah Kementerian Ekonomi.
“Tak timbul soal seorang Perdana Menteri kawal kedua-dua (perbelanjaan pembangunan dan pengurusan), sebelum ini, kerajaan berbeza kerana semuanya itu di bawah Perdana Menteri, dialah yang kawal perbelanjaan pembangunan, dia juga kawal perbelanjaan mengurus.
“Itu jadi masalah, sebab itu, saudara Anwar dari segi kuasa adalah lebih rendah dari saya. Kalau Syahir tumpu perhatian perbahasan di Parlimen, tidak timbul perkara remeh begitu. Ini kerana tidak ada lagi Perdana Menteri yang lepaskan kuasa perbelanjaan pembangunan, hanya Anwar seorang melepaskannya,” kata Rafizi.
Terdahulu Rafizi mengkritik kefahaman Syahir berkenaan tata kolola di bawah Kerajaan Perpaduan sebagai tidak lebih dari polemik politik.
“Saya rasa saudara Syahir tidak faham aturan kementerian dibuat Kerajaan Perpaduan bila dia menyentuh soal tata kelola kononnya kalau di Bachok, imam, bendahari masjid tidak boleh orang sama. Dia hanya pusing (jawapan).
“Sebab itu saya ajak berbahas sebab rekod dari Presiden PAS sampai sekarang, orang paling pandai dalam PAS, moderator tanya lain, dia jawab lain…saya juga pelik, kita membahas atau kelas membaca,” katanya.